Tuesday, September 29, 2009

Masalah Yaqzah

Yaqzah yang dimaksudkan disini ialah bertemu Rasulullah secara sedar tanpa dalam keadaan tidur. Istilah ini merupakan antara kunci utama penentu Aurad Muhammadiah dalam kebenaran atau sebaliknya, kerana mereka mendakwa bahawa wirid-wirid dalam Aurad Muhammadiah diperoleh secara yaqzah antara Syeikh Suhaimi dengan Rasulullah di dalam Kaa’bah. Antara yang mengharuskan yaqzah juga selain Al-Arqam adalah dikalangan tarekat sufi lainnya (yang sesat). 

Selain itu, semasa Al-Arqam dahulu, yaqzah telah dibuat dalam bentuk majlis. Dalam majlis tersebut kononnya banyak perkara ghaib yang dapat dilihat dengan pandangan tembus oleh seorang pemuda yang bernama Mujahid (Pemuda MORO Filipina). Pemuda tersebut mendakwa boleh menerima arahan atau perintah dari Syeikh Muhammad Suhaimi sendiri.[1] Dalam majlis itu akan terdedah dosa-dosa setiap ahli pengikut Arqam sehingga kononnya ada wajah-wajah pengikut Arqam yang berubah menjadi Babi, Kuda, Ular dan Anjing. Berikut adalah kisah Majlis Yaqzah dijalankan sebagaimana diceritakan oleh Ustaz Mohd. Roshdi Yusuff dalam bukunya “40 Persoalan Arqam & Aurad Muhammadiah.”

Bagaimanakah Majlis Yaqzah Al-Arqam dijalankan?

Ustaz Mohd. Roshdi Yusuff seorang bekas Al-Arqam menceritakan bahawa Majlis Yaqzah ini dijalankan di beberapa buah perkampungan Arqam. Seluruh ahli-ahli berkumpul di perkampungan yang telah ditentukan masanya. Masing-masing disenaraikan mengikut giliran negeri-negeri. Bagaimanapun tempat berlangsungannya Majlis Yaqzah didakwa ditentukan oleh Syeikh Muhammad Suhaimi. Ini dapat dikesan kerana telah disebut secara terbuka oleh seluruh pemimpin dan ahli-ahli Arqam bahawa terdapat kampung-kampung Arqam yang yang tidak suka dimasuki oleh Syeikh Suhaimi kerana ahli-ahli Arqam kononnya telah tenggelam dalam kehidupan yang mewah seperti membuat rumah besar dan seumpamanya.

Kabanyakan Majlis Yaqzah berlangsung di Perkampungan Arqam Sungai Penchala, Kuala Lumpur. Waktu yang telah dipilih ialah antara selepas solat Isyak dan solat Subuh. Semua ahli-ahli berkumpul dan diarah agar mematuhi segala arahan-arahan yang akan dikeluarkan oleh dalang-dalang Arqam yang diketuai oleh Abdul Halim Abbas[2]. Semua arahan-arahan datang dari sumber Abdul Halim, orang lain hanya jadi pak turut. Semua ahli Arqam pada ketika itu kelihatan takut dan bimbang akan berlaku sesuatu.

Majlis Yaqzah ini dianggap sebagai ‘Era Kerohanian Arqam’. Tujuannya adalah untuk ahli-ahli Arqam menilai serta melihat sejauh manakah ketaatan ahli-ahli Arqam kepada pimpinan Haji Ashaari Muhammad serta kepercayaan terhadap kelahiran Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Al-Mahdi Al-Muntazar.

Sesudah ahli-ahli berkumpul mengikut barisan negeri-negeri, maka Abdul Halim Abbas dengan suara kerasnya berkata:

“Mujahid yang berhadapan dengan saudara-saudara ini adalah seorang yang telah dipilih oleh Syeikh Muhammad Suhaimi untuk mengendali Majlis Yaqzah ini. Untuk pengetahuan saudara-saudara bahawa suatu ketika roh Mujahid ini pernah dikeluarkan dan berangkat ke Makkah untuk bertemu Rasulullah s.a.w. Di Makkah rohnya bertawaf sebanyak 7 kali kemudian ia pulang kembali”

Kemudian ahli-ahli Arqam diingatkan agar jangan cuba menyembunyikan tembelang sendiri, kerana Mujahid kononnya sudah mengetahui dosa-dosa mereka. Jika mereka cuba menyembunyikannya dan tidak mahu mengakui dosa sendiri maka insya-Allah Mujahid akan tunjukkan seorang demi seorang serta akan menyebut apakah jenis dosa-dosa yang telah mereka lakukan itu.

Mujahid kemudian mengingatkan semua ahli Arqam bahawa segala kesahalan mereka yang dilakukan selama ini akan tergambar sebagai rupa Babi, Kuda, Ular dan Anjing. Untuk menghilangkan sifat-sifat tersebut mereka hendaklah menangis sesunguh hati dengan ikhlas kemudian bertaubat kepada Allah dengan taubat Nasuha, insya-Allah taubat mereka akan diampunkan.

Beberapa minit kemudian Mujahid pengsan. Abdul Halim Abbas segera mengarahkan orang mengipas-ngipas Mujahid, kemudian Halim menyebut bahawa ia mendapat arahan agar semua ahli yang hadis membaca surah Yasin agar dapat membantu memulihkan keadaan Mujahid yang pengsan itu atas alasan tidak tahan melihat orang-orang Arqam yang sudah berubah wajah kepada rupa Babi, Anjing Kuda dan lain-lain.[3]  

Demikian di atas secara ringkas yang saya nukilkan dari buku Ustaz Mohd. Roshdi Yusuff.[4] Demikian kekarutan, kesesatan dan kekhurafatan jemaah Arqam yang mana siapa yang menerimanya pasti akan tersesat. Sekiranya peristiwa (yaqzah) sedemikian pun masih ada yang membenarkannya, pastilah orang tersebut jahil yang berganda-ganda, bahkan dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata. Wana’uzubillahi minzalik.

Hadis Man Ra’ani Fil Manam (Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi)

Antara hujah yang digunakan oleh mereka yang menerima konsep yaqzah ini adalah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawasanya baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي الْيَقَظَةِ وَلا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku secara sedar dan syaitan tidak sekali-kali dapat menyerupaiku.” [Hadis riwayat Bukhari][5]

Dalam kitab “Al-Fawaid Al-Multaqizoh fi Ar-Raddi ‘Ala Man Za’ama Ru’yah An-Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Yaqzhoh” karya Abu Muaz As-Salafi telah menerangkan secara sempurna dari segi kefahaman hadis dan taraf hadis tersebut oleh para ahli hadis dan pendapat ulama-ulama muktabar mengenai yaqzah.

Hadis di atas diriwayatkan oleh Imam Bukhari dengan taraf sahih. Hadis ini diriwayatkan oleh 12 orang sahabat nabi, kemudian dikeluarkan oleh 8 orang periwayat hadis yang menunjukkan bahawa mereka sangat mengambil berat terhadap hadis ini. Namun tidak ada seorang pun dari mereka ini yang meletakkan bab bolehnya yaqzah. Sebagai contoh dalam kitab-kitab fiqh ataupun kitab-kitab hadis biasanya mereka akan meletakkan hukum-hukumnya (pokok hukum) sebagai bab-bab di dalam kitab mereka.

Tidak ditemui dalam kitab-kitab hadis yang melatakkan sebagai bab yaqzah. Tetapi, Cuma diletakkan sebagai kitab (bab) mimpi dan kitab ba’bir mimpi. Jikalau benar yaqzah ini dibolehkan, pasti para ahli hadis akan meletakkan dalam kitab mereka sebagai contoh, bab bertemu nabi secara yaqzah. Ini menunjukkan yang ada cuma mimpi bertemu Rasulullah bukan bertemu dengan nabi secara sedar (dengan melihat susuk tubuh baginda).

Dalam hadis tersebut juga (hadis berkenaan yaqzah di atas) mempunyai 44 tempat yang dikeluarkan dari kitab hadis tentang hadis ini. Dan tidak datang satu lafaz pun pada tempat sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada lafaz ini secara jazam (pasti) melainkan satu sahaja yang diriwayatkan oleh Bukhari iaitu lafaz:

فَسَيَرَانِي فِي الْيَقَظَةِ

Maksudnya: “Maka dia akan melihatku secara sedar.”

Lafaz ini perlu diperhatikan pada riwayat yang lain untuk mengenai pasti apa yang dimaksudkan oleh hadis tersebut. Lafaz-lafaz yang lain adalah seperti berikut:

Lafaz pertama:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia telah melihatku.”

Lafaz kedua:

مَنْ رَآنِي فَقَدْ رَأَى الْحَقَّ

Maksudnya: “Barangsiapa melihatku maka ia telah melihat kebenaran (wajah sebenar Rasulullah).”

Lafaz ketiga:

مَنْ رَآنِي فِي النَّوْمِ فَقَدْ رَآنِي

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihatku dalam tidur maka dia telah melihatku.”

Lafaz keempat:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَكَأَنَّمَا رَآنِي فِي الْيَقَظَةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi maka seakan-akan dia melihatku dalam keadaan sedar.”

Lafaz kelima:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي الْيَقَظَةِ أَوْ لَكَأَنَّمَا رَآنِي فِي الْيَقَظَةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku dalam keadaan sedar atau seakan-akan dia melihatku secara sedar.”

Pada lafaz yang kelima di atas ini adalah syaz[6] dan paling kurang mubham[7] dan riwayat lain telah mentafsirkan lafaz ini, iaitu sebagaimana pada lafaz keempat:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَكَأَنَّمَا رَآنِي فِي الْيَقَظَةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi maka seakan-akan dia melihatku dalam keadaan sedar.”[8]

Imam Nawawi rahimahullah menjelaskan riwayat “Maka dia akan melihatku dalam keadaan sedar” dengan keterangan berikut[9]:

1.      Mana-mana sahabat yang mimpi melihat nabi sebelum dia berhijrah, sedangkan ketika itu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam telah pun berhijrah. Maka dia pasti akan sempat bertemu Nabi setelah dia pun turut berhijrah. Ini kerana para sahabat yang tidak mendapat mimpi bertemu dengan Nabi, tidak dapat bertemu dengan Nabi (yakni nabi telah wafat) setelah dia berhijrah ke Madinah.

2.      Sesungguhnya dia melihat kebenaran mimpinya (bertemu dengan nabi) itu di akhirat apabila ia bertemu dengan Nabi di sana (di akhirat) kelak bersama umat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

3.      Dia akan melihat Nabi di akhirat secara istimewa iaitu dapat melihat Nabi dengan lebih dekat (hampir dengan Rasulullah) berbanding orang lain (yang dapat melihat Nabi dengan pandangan biasa sahaja) dan mendapat syafaatnya.

Sementara itu Abdulllah ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma pernah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh muridnya Yazid al-Farisi mengenai mimpinya melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika persoalan itu diajukan, Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma bertanya: “Apakah kamu dapat menyebutkan sifat-sifat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang dilihatmu dalam mimpi itu?” Yazid al-Farisi menjawab: “Ya, baginda adalah seorang lelaki di antara dua lelaki, iaitu bentuk fizikalnya sederhana, kulitnya di antara kehitaman dan putih, tetapi lebih kepada putih, hitam kedua-dua matanya, manis senyumannya, indah raut wajahnya dan janggutnya memenuhi bahagian lehernya.”

Lalu Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma berkata:

“Sekiranya kamu melihat baginda dalam keadaan jaga, tentu kamu tidak mampu mensifatkan lebih dari itu.”[10]

Demikian tidak benar pengakuan para sufi dan pengikut-pengikut tarekat yang sesat mendakwa bahawa kononnya syeikh mereka telah bertemu Nabi secara Yaqzah. Bahkan dengan cara yaqzah ini mereka mendakwa tarekat mereka berada dalam kebenaran walaupun mereka tahu bahawa sanad tarekat mereka banyak terputus.

Sekiranya benar amalan yaqzah tersebut, pastilah para sahabat tidak akan bersusah payah berijtihad dikala sepeninggalan baginda sallallahu ‘alaihi wasallam. Pastilah tidak akan berlaku fitnah terbesar dikala kematian Saidina Utsman bin Affan radhiallahu ‘anhu dibunuh yang mana terjadinya dua peperangan sesama muslim sebagaimana tercatit dalam sejarah iaitu perang Jamal dan perang Siffin.

Kenapa tidak ada seorang pun sahabat pada waktu tersebut yang berjumpa dengan Nabi secara sedar? Dengan cara itu dapat menyelesaikan masalah fitnah dan dapat menyelamatkan daripada terbunuhnya ramai sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in.



[1] 40 Persoalan Arqam & Aurad Muhammadiah, Mohd. Roshdi Yusoff, Cetakan Pertama 1994, Penerbitan Raqib, halaman 100-101.
[2] Beliau pernah lari ke Indonesia ketika pengharaman Al-Arqam dan kembali ke Malaysia ketika pimpinan bekas perdana menteri yang kelima iaitu Pak Lah Abdullah Ahmad Badawi. Beliau  sekarang berada di Sabah bersama Isteri dan anaknya, dan masih aktif dalam berdakwah.
[3] Diringkaskan dari 40 Persoalan Arqam & Aurad Muhammadiah, Soalan ke-17, halaman 103-109.
[4] Buku tersebut mendedahkan berbagai penyelewengan Arqam dan Aurad Muhammadiah, antaranya persoalan Imam al-Mahdi al-Muntazar yang ditonjolkan oleh pemimpin utamanya, Ustaz Ashaari Muhammad.
[5] Kitab at-Ta’bir, hadis no: 6993; Fathul Bari, 12/383.
[6] Syaz: Riwayat orang yang tsiqah, akan tetapi menyalahi riwayat orang yang lebih tsiqah.
[7] Mubham: Perkataan yang tidak jelas maknanya.
[8] Demikian yang dijelaskan oleh Abu Muaz As-Salafi dalam kitabnya  Al-Fawaid Al-Multaqizoh fi Ar-Raddi ‘Ala Man Za’ama Ru’yah An-Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Yaqzhoh.
[9] Sila lihat Syarah Shahih Muslim, 15/24-26.
[10] Tirmizi, Peribadi dan Budi Pekerti Rasulullah, Bab bermimpi Bertemu Rasulullah, no: 393.