Friday, April 11, 2008

Pemuda Bani Tamim

Antara sebab utama kesesatan pada Al-Arqam ialah aqidah mereka tentang pemuda bani tamim mereka. Abuya Ashaari Muhammad telah mendakwa dirinya sebagai pemuda bani tamim secara terbuka pada tahun1992. Sebagaimana telah diceritakan olehnya dan pengikut-pengikutnya sama ada dalam ceramah mahupun dalam bentuk tulisan. Disamping itu, mereka juga berpendapat pemuda bani tamim inilah yang akan mengadakan jemaah bagi persiapan untuk Imam Mahdi yang akan dizahirkan pada waktu yang dijanjikan.

Yang peliknya bilakah akan berlaku seperti yang mereka dakwakan? Ini kerana Abuya Asyaari tersebut sekarang bukannya lagi seorang pemuda. Beliau sekarang sudahpun tua, malah ubannya sudah penuh dikepala juga dijanggutnya. Ia juga tidak boleh berjalan dengan betul. Mulutnya juga tidak boleh berkata-kata dengan baik disebabkan penyakit. Adakah pemuda bani tamim itu seorang yang tua? Sudah tentu tidak kerana pemuda bani tamim adalah seorang pemuda. Sehingga mereka pengikut Abuya Asyaari mentakwil dan mengubah pula pada waktu sekarang gelaran pemuda tersebut kepada putera bani tamim. Apakah pula erti perubahan gelaran itu?

Persoalannya yang penting di sini, adakah pemuda bani tamim ini tsabit dalam hadis-hadis nabi apatah lagi dalam kitabullah? Sejauh penyelidikan saya, (Allah sahaja yang lebih mengetahui akannya) tidak termaktub satu pun dalam kitab-kitab yang masyhur akan ‘aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menetapkan perkara yang berkaitan dengan bani tamim. Malah tiada terdapat satupun hadis-hadis sahih yang menceritakan tentangnya. Sebagaimana dalil mereka adalah:

وسيخرج من صلب هذا حي يملأ الأرض عدلا وقسطا ، فإذا رأيتم ذلك ، فعليكم بالفتى التميمي ، فإنه يقبل من المشرق وهو صاحب راية المهدي

“Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang akan memenuhi bumi dengan keadilan. Maka apabila kamu ingin melihat demikian itu hendaklah kamu bersama-sama Pemuda Bani Tamim. Sesungguhnya dia datang dari sebelah timur dan dialah pemegang panji-panji Al-Mahdi” [Hadis Riwayat Thabrani, Lihat Mu’jam Al-Kabir li At-Thabrani, no: 502]

Hadis ini adalah dha’if dan didha’ifkan sendiri oleh At-Thabrani. Perawinya terdapat Ibn Lahi’ah dan kata Thabrani: “Ibn Lahi’ah sahaja yang meriwayatkan hadis ini dari Ibn Umar Radhiallahu ‘anhu”. Ibn Lahi’ah ini seorang yang buruk hafalan dan hadis yang diriwayatkan olehnya seorang diri adalah dha’if[1]. Begitu juga Kathir bin Ja’far menyendiri dalam hadis ini dari Ibn Lahi’ah. Kathir bin Ja’far juga didha’ifkan oleh Al-Hafiz Ad-Dailami seperti yang disebut oleh Al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah hadis no: 1472.[2]

Terdapat banyak lagi hadis-hadis yang berkaitan tentang pemuda bani tamim. Akan tetapi jikalau ianya sahih, maka sudah tentulah ulama-ulama terdahulu lagi sudah menyebut akan kesahihannya. Antara kandungan hadis-hadis tentang pemuda bani tamim juga ada menyebut namanya ialah Syu’ib bin Salih. Ia membawa panji-panji hitam dari sebelah timur. Hadis ini disalin oleh Imam As-Suyuti di dalam Al-Hawi Li Al-Fatawa dan ‘Aqdu Al-Durar fi Akhbar Al-Muntazar. Dan hadis tersebut juga tidak terdapat di dalam sunan-sunan yang muktabar seperti Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, dan Nasa’i.

Hadis-hadis pemuda bani tamim[3] kesemuanya asalnya dibawa oleh Na’im bin Hammad. Menurut Ibn Hajar beliau adalah seorang perawi yang shaduq, akan tetapi banyak kesalahan. Az-Dzahabi berkata beliau adalah seorang Al-Hafiz, tetapi ‘ulama berkhilaf (berselisih) statusnya sebagai perawi hadis sama ada hasan atau dha’if. Maka dalam meriwayatkan hadis tentang pemuda bani tamim, hanya ia seorang sahaja yang meriwayatkannya. Maka hadis tersebut paling kurang pun diketegorikan sebagai syaz iaitu hadis tersebut dha’if.

Apalah gunanya para pengikut Abuya Asyaari bermati-matian menegakkan ‘aqidah mereka tersebut.[4] Sedangkan mereka langsung tiada disiplin dalam mengambil hadis-hadis nabawiyah. Mereka sepatutnya tahu bahawa hadis-hadis itu tidak semuanya berdarjat sahih. Oleh sebab itulah, perlunya kitab-kitab hadis itu ditahqiq dan diteliti semula. Dan telah pun diteliti oleh segenap ulama-ulama hadis yang bertungkus-lumus menyusun kitaq-kitab sahih dan mengumpul kitab-kitab dha’if maupun maudhu’.



[1] Ibn Hajar menyatakannya dalam Tazhib at-Tazib. Begitu juga Az-Dzahabi mendha’ifkannya dalam Mizan al-I’tidal.

[2] Ibn Abi Hatim menyebut Kathir bin Ja’far dalam Al-Jarh wat Ta’dil tetapi tidak menjarah atau menta’dil maka dia adalah majhul al-hal. Majhul Al-Hal tidak diterima melainkan ada Imam Jarh Ta’dil yang mentsiqahkannya tetapi dalam kes ini dia didha’ifkan oleh Ad-Dailami. Maka riwayatnya memang tidak dapat dijadikan hujjah.

[3] Hadis-hadis tentang pemuda bani tamim kesemuanya tidak lepas daripada kedha’ifan malah mungkar dan juga maudhu’. Ini kerana rangkaian perawi-perawi dalam hadis-hadis tersebut kebanyakkan adalah lemah malah ada yang menganut pahaman syi’ah.

[4] Saya pernah membuka satu blog yang mereka menulis hujah-hujah mereka dalam menegakkan dakwaan mereka bahawa Abuya itu adalah seorang pemuda bani tamim. Mereka berhujah bahawa walaupun nama pemuda bani tamim ialah Syu’ib bin Salih sepertimana dalam hadis, akan tetapi tidak semestinya namanya mesti sama. Mereka berdalih yang nama itu cuma digunakan apabila orang ramai telah mengenalinya. Akan tetapi mereka lupa bahawa perkara yang pertama perlu diteliti adalah darjat hadis tersebut. Maka tiadalah guna lagi hujah-hujah akal mereka kerana hadis pemuda bani tamim tiada satupun yang sahih. Wallahua’lam.