Saturday, May 1, 2010

Pendidikan Rasulullah Versi Abuya

Pendidikan Rasulullah tersendiri,
Ada matlamat dan azam yang tinggi,
Laa Syaqiyyah wa Laa Gharbiyyah,
Tidak timur dan tidak barat.

Ia tali Islamiyyah insya-Allah sunnah Nabi,
Pergaulan lelaki dan wanita terbatas sekali,
Bukan hanya makan gaji bukan untuk digree,
Tapi untuk berdikari untuk menjadi ‘abid pemuja Allah.


Lirik lagu di atas ini mempunyai matlamatnya tersendiri iaitu menebarkan pemahaman pegangan Abuya Ashaari Muhammad. Pernah dahulu diterbitkan sebuah buku yang bertajuk “Pendidikan Rasulullah” yang disusun oleh isteri beliau Khadijah Aam. Buku tersebut dicetak pada tahun 1990 dikeluarkan oleh diterbitkan oleh Jabatan Syeikhul Arqam. Buku tersebut sekiranya dilihat dengan seimbas lalu, nampak ada kebagusan dan manfaatnya dari segi pengambilan dasar pendidikan melalui Al-Quran dan As-Sunnah serta kehidupan para sahabat (As-Salafus Soleh) sebagaimana yang ditulis dalam buku tersebut. Akan tetapi berbeza dengan iktikad dan pengamalan mereka sendiri yang hanya banyak bid'ah-bid'ah dan amalan-amalan yang bertentangan dengan sunnah Nabi. Bahkan disebalik itu, ada fahaman yang menyesatkan iaitu pegangan Aurad Muhammadiah. (Sila rujuk bahagian Aurad Muhammadiah).


Dari sudut lain, ternyata sikap mereka kebanyakan pada penulisan buku-buku mereka adalah tidak mengambil endah tentang derajat hadis. Mereka suka mengatakan Rasulullah bersabda ini dan itu, tanpa menjelaskan dan mengetahui darjat hadis tersebut. Sedangkan sebahagian yang mereka nukilkan hadis yang sebenarnya bukanlah hadis. Padahal Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata ke atasku sesuatu yang aku tidak pernah katakan, maka dia telah menempah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dalam al-Maktabah al-Syamilah, no: 106)

Bahkan terdapat suatu hadis dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan seseorang itu dianggap berdusta apabila menceritakan segala apa yang pernah dia dengari, namun tidak pernah hendak mengkaji sejauh mana kesahihannya. Nabi bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila dia menceritakan seluruh apa yang dia dengari.” (Hadis riwayat Muslim dalam al-Maktabah al-Syamilah, no: 6)

Ibn Hibban rahimahullah berkata: “Di dalam hadis ini terdapat larangan kepada sesiapa sahaja supaya tidak menyebut semua perkara (termasuk hadis) sehinggalah dia yakini itu adalah sahih.” (Tamamul Minnah, Syeikh Nasiruddin Al-Albani, lihat kaedah no: 5)

Sesuatu hadis yang Maudhu’ (palsu) tidak boleh diriwayatkan kecuali sekiranya dijelaskan derajatnya supaya dapat dikenali bahawa hadis tersebut adalah palsu. Ini sebagaimana banyak dilakukan oleh para ulama di antaranya Imam Az-Zahabi setelah meriwayatkan hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang menghafal satu hadisku untuk umatku, maka dia mendapat pahala sebanyak pahala tujuh puluh satu Nabi yang benar.”

Imam Az-Zahabi mengomentari: “Hadis ini adalah di antara hadis yang haram diriwayatkan kecuali diberitahu bahawa ia adalah palsu tanpa ragu-ragu lagi. Dan semoga Allah membalas perbuatan buruk orang yang menciptanya.” (Silsilah Ahadits Adh-Dha’ifah wal Maudhu’ah, Syeikh Nasiruddin Al-Albani, lihat huraian hadis no: 1174)

Di dalam buku "Pendidikan Rasulullah" tersebut terdapat riwayat-riwayat yang palsu diletakkan di dalamnya, antaranya:

Hadis 1:

اُطْلُبُوا الْعِلْمَ وَ لَوْ بِالصِّيْنِ

Maksudnya: “Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi, Abu Nu’aim Ahkbar Ashbahan, Ibn ‘Alaika An-Naisaburi dalam Al-Fawa’id, Abul Qasim Al-Qusyiri dalam Al-Arba’in, Al-Khatib dalam At-Tarikh, Al-Baihaqi dalam Al-Madkhal dan dalam Kitab Ar-Rihlah, dan Ibn Abdil Barr dalam Jami’ Bayan Al-‘Ilm. Syeikh Al-Albani mengatakan di dalam kitabnya Silsilah Ahadits Adh-Dha’ifah wal Maudhu’ah, jilid 1, halaman 600, no: 416, bahawa hadis ini adalah hadis yang Batil. Manakala Ibn Jauzi mengatakan hadis ini Maudhu’ (Palsu). sebagaimana disebutkan oleh beliau dalam bukunya Al-Maudhu’at, Jilid 1, halaman 215.

Hadis 2:

اَلدُّنْيَا مَزْرَعَةُ الآخِرَة

Maksudnya: “Dunia ladang bagi akhirat.”

Hadis ini terdapat dalam Ihya Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali. Al-‘Iraqi mengatakan dalam kitabnya Takhrij Ahaadits Al-Ihyaa’, no: 3587, bahawa tidak terdapat lafaz hadis ini yang sampai kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ash-Shaghani menggolongkan hadis ini sebagai Palsu dalam kitab beliau Al-Maudhu’at halaman 3. Begitu juga Al-‘Ajluni memasukkan hadis ini ke dalam Kitab beliau Kasyf Al-Khafa’, hadis no: 1320. Kitab Kasyful Kafa’ merupakan kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang masyhur yang tersebar dikebanyakan masyarakat. Terdapat hadis yang serupa maknanya dengan hadis di atas iaitu:

نِعْمَتُ الدَّار الدُّنْيَا لِمَنْ تَزود مِنْهَا لآخِرَتِهِ

Maksudnya: “Nikmat sebenar dunia adalah bagi mereka yang menyediakannya untuk akhirat.”

Al-‘Iraqi berkata sanadnya lemah (Lihat Takhrij Ahadits Al-Ihya’, 8/87). Al-‘Uqaili memasukkannya dalam Adh-Dhu’afa’ dan Makarima Al-Akhlak Li Ibn Lal dari Thariq bin Asyim, Al-Hakim mensahihkannya tetapi Az-Zahabi mengatakan ianya Mungkar. (Lihat Kasyfu Al-Khafa’, 1/412)

Hadis 3:

اِعْمَلْ لِدُنْيَاكَ كَأَنَّكَ تَعِيْشُ أَبَدًا ، وَاعْمَلْ لآخِرَتِكَ كَأَنَّكَ تَمُوْتُ غَدًا

Maksudnya: “Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.”

Hadis di atas tidak terdapat di dalam kubus-Sittah (Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibn Majah). Syeikh Nasiruddin Al-Albani berkata dalam kitabnya Silsilah Ahadits Adh-Dha’ifah wal Maudhu’ah, jilid 1, halaman 63, no: 8 bahawa hadis ini tidak ada asal-usulnya yang sampai kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Demikian 3 contoh hadis yang palsu dan yang tidak ada asalnya dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam terdapat dalam buku Pendidikan Rasulullah. Masih terdapat banyak lagi hadis-hadis yang terdapat dalam buku-buku mereka yang lain yang lemah bahkan yang palsu. Ini kerana kebanyakan buku-buku mereka banyak merujuk kepada kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali yang terkenal sedangkan di dalamnya terdapat banyak hadis-hadis yang lemah, palsu bahkan tidak ada asal-usulnya.

Ibn Katsir rahimahullah berkata: “Ketika berada di Damsyik dan Baitulmaqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya ‘Ulumiddin. Ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati. Namun dalamnya banyak hadis yang gharib, mungkar dan palsu.’’ (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186)

Ibn Jauzi rahimahullah berkata: “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya Ulumiddin berdasarkan pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis batil yang dia tidak tahu kebatilannya.’’ (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, halaman 190)

Imam al-Zahabi rahimahullah berkata: “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil daripada ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah s.a.w. secara perkataan dan perbuatan.” (Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/339)

Demikianlah perjuangan mereka kononnya mahu mengikuti cara salafus soleh sebagai mana dalam buku tersebut, namun ternyata mereka jauh sekali dari apa yang dikatakan oleh mereka sendiri. Golongan salaf sangat menitik beratkan perihal hadis, sampai-sampai para Imam terdahulu bersusah payah menyaring hadis, agar dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang sebagaimana Imam Bukhari yang bersusah payah mengumpulkan hadis-hadis sahih dalam kitabnya, begitu juga disusuli dengan Imam Muslim yang juga mengumpulkan hadis-hadis sahih. Tidak kurang juga antara kitab-kitab hadis yang sahih adalah seperti Sahih Ibnu Khuzaimah, Sahih Ibnu Hibban, dan Mustadrak Al-Hakim yang mengeluarkan hadis-hadis yang menurutnya sesuai dengan persyaratan Imam Bukhari dan Imam Muslim.[*]

[*] Akan tetapi yang benar tidak semuanya sahih dalam kitab tersebut yakni kitab Sahih Ibnu Khuzaimah, Sahih Ibnu Hibban, dan Mustadrak Al-Hakim. Maka tidak harus terus memakai hadis yang ada dalam 3 kitab tersebut sebelum meneliti derajat hadis tersebut.

Wallahua'lam

2 comments:

Anonymous said...

mcm mna ya ajaran al-arqam yg dikatakan sesat dan tdak m'ngikut ahli sunnah wal jamaah boleh bertahan sehingga kini???
dri tahun 1970 an hngga 2010 & insyaallah akn bertahan sehingga akhir zaman nnti..
saya pelik.
mengapa Allah tdak menghapuskan sahaja mereka.
bahkan sy bertambah pelik mengapa Allah melindungi ajran yg mereka smpikan..

sesungguhnya Allah mengetahui hati hamba2nya.
mereka yg berada di jln Allah akan sentiasa m'dpt perlindungannya dan pertolongannya.

Admin said...

kalau ajaran al-arqam dari tahun 1970 sampai 2012 itu baru sekitar 4o tahun.. Lihatlah ajaran syiah yg disebarkan oleh Abdullah bin Saba' sejak dari zaman pemerintahan Saidina Uthman lagi hinggalah kini ajaran dia masih tetap kukuh bahkan mereka ada negara dan daulah mereka sendiri di Iran, adakah ajaran mereka benar? Mengapa Allah tidak menghapuskan saja ajaran syi'ah dari muka bumi Allah ini?

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda (yg bermaksud): "Ummatku akan berpecah kepada 73 golongan, semuanya keneraka kecuali satu, iaitu Al-Jamaah." (HR Tirmizi)

Dalam riwayat lain bila ditanyakan kepada nabi siapakah mereka satu golongan yg selamat itu, baginda menjawab: "Mereka yang berpegang dengan ajaranku dan sahabatku sebagaimana hari ini."

Dalam Hadis Irbadh bin Sariyah, nabi bersabda: "Hendaklah kamu taat kepada pemimpin walaupun kepada seorang hamba habsyi (berkulit hitam), barangsiapa yg hidup sepeninggalanku, nescaya akan melihat perselisihan yg banyak, maka peganglah sunnahku dan sunnah khalifah ar-Rasyidin yg beroleh petunjuk, gigitlah ia dengan geraham..." (HR. Tirmizi, Abu Daud dll)

Ini menunjukkan perselisihan dan perpecahan umat Islam pasti berlaku sehinggalah hari kiamat. Dan golongan yg benar juga akan senantiasa wujud sehingga hari kiamat.

Sabda Rasulullah saw: "Akan tetap terus ada segelintir dari umatku yg tegak di atas kebenaran, tidak memudaratkan orang yg menyelisihi dan memusuhi mereka, sehinggalah datang ketetapan Allah, sedang mereka tetap dalam keadaan demikian (di atas kebenaran)." (HR. Ahmad)

Renung2kan dan fikir2kan bersama.. Wallahua'lam