Tuesday, November 4, 2008

AURAD MUHAMMADIAH

Aurad Muhammadiah merupakan himpunan zikir-zikir yang diamalkan oleh pengikut Darul Arqam yang telah ditubuhkan pada tahun (1968)[1] di sebuah perkumpulan pengajian bertempat di No. 94 Lorong keramat Kiri 2, kg. Datuk Keramat Kuala Lumpur. Kemudian Jemaah ini diharamkan pada 11 Jun 1994 oleh Jawatan Kuasa Fatwa Kebangsaan.

Namun begitu setelah diharamkan, para pengikutnya termasuk anak-anak Ustaz Ashaari membuka satu syarikat perniagaan yang dikenali sebagai Rufaqa yang bermaksud rakan karib yang sejati yang mula bertapak di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor. Kembali pada Aurad Muhammadiah, ia merupakan wirid-wirid yang kononnya di dapati oleh Syeikh Muhammad Suhaimi bin Abdullah secara sedar tanpa tidur (bukan mimpi) daripada Rasulullah di dalam kaabah. Inilah yang dikenali sebagai “Yaqzah”[2]. Syeikh Suhaimi seterusnya mengijazahkan Aurad tersebut kepada Lebai Ibrahim bin Ilyas, seterusnya dijazahkan pula kepada Ustaz Ashaari oleh Lebai Ibrahim. Syeikh Suhaimi inilah yang kononnya belum meninggal dan akan di zahirkan Allah pada akhir zaman sebagai Imam Mahadi.[3]

Aurad Muhammadiah ini kononnya merupakan amalan simpanan Tuhan untuk akhir zaman kepada pengikut yang berpegang dengan ajaran mereka.[4] Dalam aurad ini terdapat bacaan-bacaan seperti 2 Kalimah Syahadah tetapi mempunyai tambahan “Abu Bakar as-Shiddiq, Umaru Faruq, Utsman bar ur-Rahim, Ali ‘Adud ud-Din, Muhammad ul-Mahdi Khulafa Rasulillah Sallallahu ‘alaihi wasallam”. Kemudian Bacaan “Laqad ja akum Rasul...” Surah at-Taubah ayat 128-129, kemudian bacaan doa nabi Yunus ‘alaihissalam iaitu “lailaaha illa anta subhanaka inni kuntu minna zolimin” dalam surah al-Anbiaa ayat 87, kemudian bacaan surah yasin ayat 9, kemudian bacaan selawat ada tambahan “’adada ma ‘alimta wazinata ma ‘alimta wamilata ma ‘alimta” dan bacaan surah saba’ ayat 10-11.

Semua bacaan ini dibacakan sebanyak 50 kali paling kurang 5 kali. Dan zikir seterusnya lagi dinamakan zikir ayat lima ianya paling kurang di baca sebanyak 3 kali. Seterusnya diikuti dengan seruan pencak sunda kepada tuan punya aurad iaitu sheikh Suhaimi. Kemudian dalam buku zikir Aurad Muhammadiah ia dilengkapi juga dengan khasiat aurad Muhammadiah tersebut seperti akan mendapat bantuan ketika kesusahan dan banyak lagi.

Penjelasan tentang Aurad Muhammadiah

Pasti akan terasa kepelikan di dalam Aurad Muhammadia tersebut jika kita perhatikannya semula. Asal Usul datangnya bacaan-bacaan tersebut adalah secara yaqzah[5] yang dikatakan juga sebagai amalan akhir zaman. Persoalannya adakah lagi suatu amalan diakhir zaman nanti? Bukankah segala amalan telah lengkap diturunkan sebelum nabi wafat? Para ulama sepakat tidak ada lagi apa-apa amalan yang akan bertambah apatah lagi berkurangan dengan merujuk firman Allah seperti berikut:

)اليَومَ أَكمَلتُ لَكُم دِينَكُم وَأَتمَمتُ عَلَيكُم نِعمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسلامَ دِينًا(

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku lengkapkan atasmu nikmatku serta Aku redha Islam sebagai agama bagi kamu” [Surah al-Maidah ayat 3]

Segala zikir-zikir yang terdapat dalam Aurad Muhammadiah tiada ada terdapat satupun di dalam kitab-kitab Hadis atau kitab-kitab zikir daripada Nabi Sallallahu’alaihi wasallam contohnya dalam buku yang amat terkenal dengan zikir harian pagi dan petang iaitu al-Ma’thurat oleh Imam Syahid Hassan Al-banna, maupun Kitab al-Adzkar Imam An-Nawawi yang mengumpul segenap zikir-zikir daripada hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. [6]

Dakwaan mereka bahawa amalan tersebut merupakan amalan simpanan Tuhan untuk akhir zaman juga merupakan satu pendustaan ke atas agama. Bukankah nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam mempunyai sifat “Tabligh” iaitu menyampaikan? Tidak ada dalil yang menyokong kenyataan bahawa adanya amalan tertentu di akhir zaman yang belum disampaikan lagi. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

)وَمَا أَرسَلنَاكَ إِلا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَكثَرَ النَّاسِ لا يَعلَمُونَ(

“Dan kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakkan manusia tiada mengetahui” [Surah Saba’ ayat 28]

)قُل يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيكُم جَمِيعًا(

Katakanlah: Hai manusia Sesungguhnya Aku adalah utusan Allah kepadamu semua” [Surah Al-A’raf ayat 158]

)وَأُوحِيَ إِلَيَّ هَذَا القُرآَنُ لأُنذِرَكُم بِهِ وَمَن بَلَغَ(

“Dan Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengan dia Aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang-orang yang sampai Al-Quran (kepadanya)” [Surah Al-An’am ayat 19]

Jelas ayat-ayat Al-Quran di atas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam diutuskan untuk sekalian umat islam kesemuanya. Dengan itu, tidak ada amalan yang berbeza diantara semua orang islam yang telah sampai kepadanya Al-Quran kecuali pada bab furu’[7]. Segala bentuk penyusunan bacaan yang terdapat dalam Aurad Muhammadiah juga tertolak kerana ianya direka-reka sahaja dan tidak dijumpai pun dimana-mana hadis tentang Aurad Muhammadiah ini. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :

من عمل عملاً ليس عليه أمرنا فهو رد

“Barangsiapa mengerjakan amalan (ibadat) tanpa ada dasar daripada perintah kami, maka ia di tolak” [Hadis Riwayat Muslim, No: 1718]

Saya berpendapat adalah lebih baik kiranya diamalkan zikir-zikir yang telah diajar oleh nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang termaktub dalam kitab-kitab hadis. Kerana ia lebih dijamin selamat dan dipelihara daripada dibohongi. Ini kerana ulama-ulama hadis semuanya telahpun bertungkus-lumus untuk menapis hadis-hadis yang sahih sebagaimana kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, dan kini terdapat banyak kitab-kitab yang telah ditakhrij (disemak) seperti Silsilah As-Sahihah, Sahih Sunan Abu Daud, Sahih Sunan Tirmizi, Sahih Sunan Nasa’i, Sahih Sunan Ibn Majah, dan Sahih Al-Jami’ As-Soghier oleh ‘ulama Muhadditsin yang terkini Muhammad Nahiruddin Al-Albani. Begitu juga ulama-ulama hadis yang lain. Maka apalah usaha mereka ini jika tidak diguna pakai hasil usaha mereka demi menghimpunkan hadis-hadis yang sahih dan memisahkan hadis-hadis yang dha’if? Malah atas usaha mereka inilah ulama-ulama berpendapat bahawa hadis-hadis sebenarnya dipelihara juga oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana dalam firmannya:

)إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ(

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya”. [Surah Al-Hijr ayat 9]

Dalil di atas menunjukkan Al-Quran itu Allah Subhanahu wa Ta’ala yang turunkan dan Allahlah yang memeliharanya daripada diubah. Maka apakah hadis tidak dipeliharanya? Jika kita perhatikan keseluruhan umat Islam di dunia ini mengakui bahawa mereka menggunakan Al-Quran dalam hidupnya, akan tetapi ada yang mengikuti mazhab Syi’ah, ada yang muktazilah, ada yang terbarunya pada zaman kini mengaku pula mereka adalah Islam Liberal. Manakah yang benar? Sudah tentulah Ahli Sunnah wal Jama’ah kerana mereka ini telah dijanjikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang terselamat sebagaimana sabdanya:

وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي

“Dan akan terpecah umatku menjadi 73 aliran (puak), semua mereka masuk neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku. [Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad dan lain-lain; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 2641]

Sebagaimana riwayat lain dengan lafaznya yang berbeza sering kita dengari iaitu:

وإن أمتي ستفترق على ثنتين وسبعين فرقة كلها في النار إلا واحدة وهي الجماعة

“Dan sesungguhnya umatku akan terpecah kepada 73 aliran (puak), kesemuanya ke neraka kecuali satu, dan ia adalah al-Jama’ah.” [Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad, Thabrani dan lain-lain; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Ibn Majah, no: 3993]

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله

“Sentiasalah ada kelompok dikalangan umatku yang sentiasa berada di atas kebenaran. Tidak memudaratkan mereka bagi orang yang ingin menjatuhkan mereka sehingga tibanya urusan Allah (hari kiamat).” [Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan Hakim. Lihat: Silsilah As-Sahihah, no: 1975]

Menurut ulama al-Jamaah di atas merujuk pada jemaah para sahabat. Oleh kerana itulah daripada hadis di atas aliran ataupun puak yang selamat tersebut dinamakan sebagai ‘Ahli Sunnah Wal Jamaah’ kerana mengikuti jalan hidup nabi dan sahabat.

Jika hadis-hadis tidak dipelihara oleh Allah, maka bagaimanakah kita hendak mengetahui jalan yang selamat sedang hadis yang kita berpegang dengannya termasuk hadis di atas tidak dipelihara Allah? Jika Al-Quran dipeliharanya, maka apakah tafsiran pada Al-Quran tidak dipeliharanya? Maka dengan itu firman Allah menjelaskan akan tentang ini dalam surah Al-Nisaa’ ayat 59:

)يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأوِيلا(

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. [Surah Al-Nisaa’ ayat 59]

Jikalau hadis tidak dipelihara oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, bagaimanakah kita nak kembali pada rasul yakni sunnahnya yang dimaksudkan di atas? Sudah tentulah hadis dipelihara juga sebagaimana terpeliharanya Al-Quran. Sebab itulah saya lebih cenderung untuk dikatakan zikir-zikir yang direka-reka walaupun membawa makna yang baik itu adalah tidak baik untuk kita amalkan. Bahkan, lebih tepat untuk dikatakan hukumnya adalah bid’ah kerana mengada-adakan suatu ibadat dalam agama. Lebih-lebih lagi bila ia menyandarkan pada Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana ia sebenarnya telah pun menempah tiket untuk ke neraka atas perbuatannya menyandarkan sesuatu yang tidak hak. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:

من كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

“Barangsiapa yang sengaja berdusta ke atas diriku, maka hendaklah dia menduduki tempatnya (yang telah di tempah) di dalam neraka”. [Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, dan Ahmad; Lihat Silsilah As-Sahihah, no: 1383] [8]



[1] Dipetik Dalam Suatu Kajian terhadap akidah bekas ahli-ahli Darul Arqam di negeri perlis selepas pengharamannya oleh ustaz Nazari bin Hassan. Ustaz ini juga bekas Arqam ketika dahulu akan tetapi malangnya setelah dia menyambung pelajarannya ke mesir dia mengikuti tariqat Naqsyabandiah dan berjaya membawa ramai pengikut di kalangan pelajar-pelajar IPTIPs, sedangkan tariqat Naqsyabandi juga merupakan tariqat yang telah difatwakan sesat oleh majlis fatwa selangor dengan amalan-amalan mereka yang bertentangan dengan Al-Quran juga As-Sunnah.

[2] Yaqzah juga banyak diterima oleh tariqat-tariqat lain antaranya Naqsyabandiah dan Syaziliah. Sedangkan hujah mereka menerima amalan yaqzah adalah tidak kuat. Bab ini akan diterang selepas ini.

[3] Pegangan ini hampir serupa dengan aqidah orang-orang syiah. Sedangkan Ahli Sunnah berpegang bahawa Imam mahadi tidak diketahui lagi siapa hingga ia muncul sebagaimana telah diriwayatkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dan Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa Imam Mahadi belum lagi dilahirkan, Wallahua’lam.

[4] Hazihi al-Aurad Muhammadiah, Keluaran minda sheikhul Arqam, Kuala Lumpur 1993M/1413H.

[5] Bab yaqzah secara mendalam akan diterangkan pada bab seterusnya.

[6] Ada yang mengatakan zikir yang di ambil daripada quran tidak ada salahnya. Maka yang benar ia juga sebanarnya salah. Kesalahannya ialah susunan tersebut dan bilangan berapa kali hendak di baca. Sedangkan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajar kita semua zikir-zikir dengan penyusunan yang ditentukan oleh nabi sendiri, malah telah tsabit dalam hadis riwayat Bukhari sahabat pernah mengubah sedikit cara yang di ajar nabi, kemudian nabi menegurnya dengan menyuruh jangan diubah apa yang telah diajar olehnya. Silalah rujuk Fath Al-Baari Syarah kepada Sahih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-Asqalani juzuk 1, halaman 357, hadis no: 247.

[7] Bab furu’ (cabang) terdapat perbezaan sejak daripada zaman nabi Muhammad lagi sehinggalah sekarang disebabkan pemahaman pada ayat al-Quran atau hadis tersebut berbeza atau disebabkan tidak dijumpai lagi suatu hadis tersebut atau hadis tersebut dianggap dha’if . Selanjutnya boleh rujuk buku “7 Sebab Ulama Berbeza pendapat” oleh Syeikh Muhammad bin ‘Utsaimin.

[8] Para pengikut Al-Arqam termasuk Ustaz Ashaari sebenarnya telah banyak kesalahan dalam menggunakan hadis-hadis nabi. Atas sebab ini jugalah antaranya berlaku kesesatan mereka kerana tiadanya disiplin dalam menggunakan atau memakai hadis-hadis nabi. Terkadang hadis dha’if dan maudhu’ (palsu) diterapkan dalam ibadat malah dalam ‘aqidah mereka.

1 comment:

Anonymous said...

sesungguhnya orang yang soleh dirahmati