Friday, November 7, 2008

Imam Al-Mahdi

Adapun berkaitan dengan Imam Al-Mahdi, mereka berpendapat imam Mahdi adalah Syeikh Suhaimi bin Abdullah seorang pengasas Aurad Muhammadiah. Kononnya Imam Mahdi muncul pada hari yang dijanjikan Allah nanti, Jemaahnya telah bersiap sedia yang dikumpul oleh pemuda bani tamim. Mari kita lihat antara hadis-hadis yang berkaitan tentang Imam Mahdi:

عن عبد الله بن مسعود ، قال : بينما نحن مع رسول الله صلى الله عليه وسلم إذ أقبل فتية من بني هاشم فلما رآهم النبي صلى الله عليه وسلم اغرورقت عيناه وتغير لونه قلت له : ما نزال نرى في وجهك شيئا نكرهه ، فقال : « إنا أهل بيت اختار الله لنا الآخرة على الدنيا، إن أهل بيتي سيلقون بعدي بلاءا شديدا وتطريدا حتى يأتي قوم من قبل المشرق ومعهم رايات سود ، فيسألون الحق فلا يعطونه فيقاتلون فينصرون ، فيعطون ما سألوا ، فلا يقبلونه حتى يدفعوها إلى رجل من أهل بيتي ، فيملأها قسطا كما ملئت جورا فمن أدرك ذلك منكم فليأته حبوا على الركب »

Dari Ibnu Mas’ud Radhiallahu ‘anhu katanya: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang pada mereka, maka kedua mata Rasulullah berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “mengapakah kami melihat pada wajahmu sesuatu yang kami tidak sukai?” Baginda menjawab, kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. [Hadis Riwayat Ibn Majah, Hakim dan Ahmad; Didha’ifkan oleh Al-Albani dalam Silsilah Ad-Dha’ifah, no: 195, Sahih wa Dha’if Sunan Sunan Ibn Majah, no: 4082, Dha’if Jami’ Shogier, no: 6434][1]

Hadis di atas ada perawi yang bernama Yazid bin Abi Ziyad. Beliau adalah seorang perawi yang dha’if malah seorang penganut syi’ah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar begitu juga pandangan Az-Dzahabi. Begitu juga dalam riwayat yang lain menerangkan bahawa Al-Mahdi tersebut berada di sebelah Khurasan:

إذا رأيتم الرايات السود خرجت من قبل خراسان فأتوها و لو حبوا فإنه خليفة الله المهدي

Maksudnya: “Apabila kamu melihat bendera-bendera hitam yang keluar dari arah Khurasan, maka kamu datangilah walaupun dalam keadaan merangkak, sesungguhnya di situ ada khalifah Allah, Al-Mahdi. [Hadis Riwayat Ibn Majah, Hakim dan Ahmad; Didha’ifkan oleh Al-Albani dalam Silsilah Ad-Dha’ifah (sebagaimana hadis sebelumnya), juga didha’ifkan oleh Ibn Qayyim dalam Manar al-Munif (no: 340), dan Ibn Jauzi dalam Al-Maudhu’at (2/39)]

Dalam hadis ini pula terdapat perawi yang bernama ‘Abdul Razzaq bin Humam yang juga seorang penganut syi’ah tetapi beliau adalah tsiqah sebagaimana dikatakan oleh Ibn Hajar. Akan tetapi hadis di atas telah pun di tolak oleh ulama-ulama hadis[2] dalam mentakhrij hadis tersebut sehingga ia tidak mampu untuk dijadikan sandaran dan hujah.

Hadis di atas juga sebenarnya bertentangan dengan hadis yang menunjukkan tempat munculnya dajjal. Adakah dikhurasan itu tempat keluarnya Imam Mahdi ataupun dajjal? Ataupun Imam Mahdi yang dimaksudkan oleh mereka sebenarnya adalah ad-Dajjal? Maka terdapat hadis yang sahih memberitahu kita bahawa tempat munculnya dajjal adalah di kota Ashbahan sebelah timur. Sepertimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

الدجال يخرج من أرض بالمشرق يقال لها خراسان

“Dajjal akan keluar dari bumi ini di bahagian timur yang bernama Khurasan”. [Hadis Riwayat Tirmizi, Ibn Majah, Hakim, dan Ahmad; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Jami’ Shogier, no: 3404]

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلَّم يخرج الدجَّال من يهوديّة أصبهان معه سبعون ألفًا من اليهود عليهم التيجان

Daripada Anas bin Malik ia berkata, berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Dajjal akan keluar dari kampung Yahudiyah kota Ashbahan bersama tujuh puluh ribu orang daripada orang yahudi”. [Hadis Riwayat Ahmad; berkata Syu’aib Al-Arnauth dalam Musnad Ahmad Bi Takhrij Al-Arnauth hadis ini Hasan, juzuk 3, halaman 224] [3]

Maka hadis di atas jelas menunjukkan bahawa tempat yang lebih khusus disebelah timur iaitu di sebelah khurasan akan munculnya dajjal bukannya Al-Mahdi. Jika hendak dihimpun lagi hadis-hadis tentang dajjal, maka bukanlah di sini tempat untuk membahaskannya. Terlalu banyak hadis-hadis tentangnya boleh di dapati di perpustakaan dan juga boleh dibeli dikedai-kedai buku agama, malah boleh juga didapati hanya dengan melayari internet sesuai dengan era moden sekarang ini.

Tidak dinafikan kepercayaan tentang akan lahirnya imam Mahdi itu wajib bagi kita Ahli Sunnah Wal Jamaah menyakininya. Kerana hadis-hadis yang menyebut perihal tentang imam Mahdi terlalu banyak dan mencapai darjat mutawatir seperti yang dinyatakan oleh ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini sepertimana Muhadditsin Muhammad Nashiruddin Al-Albani berkata:

“Hadis-hadis tentang Isa ‘Alaihi Al-Salam dan Al-Mahdi juga mencapai darjat mutawatir, sehingga tidak ada jalan untuk mengingkarinya sebagaimana hal itu telah dijelaskan oleh Al-Qadi Al-Imam Asy-Syaukani dalam kitab: Al-Tauhid fi Tawatur ma Ja’a fil Muntazar wa Dajjal wal Masih. Beliau (Asy-Syaukani) berkata: “Hadis-hadis sahih yang meriwayatkan tentang Al-Mahdi yang sempat saya temukan sejumlah 50 hadis, di antara jumlah itu ada yang sahih, hasan, dan ada yang dha’if namun dapat dikuatkan oleh hadis lainnya”.[4]

Oleh sebab itu, perihal Imam Mahdi merupakan keyakinan yang tetap akan tetapi tidak bermakna boleh sesuka hati mentakwil ataupun meramal kedatangannya dan siapakah orangnya. Pengasas Al-Arqam Abuya Asyaari juga pengikut-pengikutnya telahpun melebihi ketetapan kerana mereka cuba menetapkan siapa dia Imam Mahdi bahkan dakwaan mereka Imam Mahdi sudah pun dilahirkan. Aqidah mereka ini adalah serupa dengan pengikut Syi'ah yang mengatakan Imam Mahdi mereka juga telah dighaibkan dan akan dizahirkan diakhir zaman bersama-sama membawa Al-Quran yang asli diberi nama Mushaf Fathimah yang kononnya jauh lebih hebat daripada Al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini.[5]

Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah aliran yang selamat di bawah manhaj Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya Radhiallahu 'anhum sebagaimana yang telah saya terangkan serba sedikit sebelum ini di atas. Dan selepas ini, saya akan terangkan lagi kesesatan mereka yang sama dengan pengikut-pengikut tarikat sufiyah pada kebanyakkannya.

Jelaslah perihal pemuda bani tamim dan Imam Mahdi yang dibawa oleh Abuya Asyaari adalah banyak kesalahan dan boleh membawa kepada kesesatan kerana melebihi had pada hak agama untuk menceritakan hal-hal yang belum jelas, lebih-lebih lagi tidak ada satupun dalil yang menguatkan aqidah mereka ini. Malah hadis-hadis tersebut semuanya adalah mardud yakni ditolak.

Hadis-hadis (pemuda bani tamim dan Imam Mahdi) di atas semuanya dijadikan sandaran oleh para pengikut Rufaqa dengan yakinnya mengatakan bahawa pemuda bani tamim tersebut adalah Abuya Ashaari. Malah mereka memberi perumpamaan bahawa Pemuda bani tamim adalah seperti tug boat. Iaitu sebuah kapal yang kecil yang mempunyai horse power yang besar. Bila ia hendak keluar dari dermaga, tug boat bekerja untuk menarik keluar sehingga kapal besar itu dapat belayar di lautan.[6]

Kononnya Imam Mahdi adalah ibarat kapal besar yang akan menjelajah dunia dan pemuda bani tamim tersebut yang akan mengeluarkan Imam Mahdi untuk berperanan di dunia[7]. Mereka menyangka pemuda bani tamim hendaklah menyelesaikan tanggungjawabnya supaya Imam Mahdi Zahir. Sedang dunia pula sedang ditunggu kemunculannya untuk mengembalikan keadilan dan keamanan ke atas buminya.[8]

Inilah Aqidah yang menyeleweng di kalangan penganut Aurad Muhammadiah yang begitu taksub dengan omongan para pemimpin mereka. Sedangkan tidak ada dasar pun apa yang mereka pegangi. Yang ada hanyalah berbekalkan hadis dha’if malah ada juga yang maudhu’ (palsu). Ketahuilah hadis dha’if tidak boleh dijadikan sandaran baik segi ibadat apatah lagi dalam Aqidah. Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:

"Berkata para ilmuan daripada kalangan ahli hadis, ahli fiqh dan selain mereka, dibolehkan – bahkan disunatkan beramal dengan hadis dha‘if dalam bab keutamaan (al-Fadha’il), memberi anjuran (al-Targhib) dan amaran (al-Tarhib) asalkan ianya bukan hadis maudhu’.

Adapun dalam bab hukum-hakam seperti halal dan haram, jual-beli, penceraian dan apa-apa lain yang seumpama, tidak boleh beramal dengan hadis dha‘if kecuali dengan hadis yang sahih atau hasan. Melainkan jika hadis-hadis tersebut bersangkutan dengan sikap berhati-hati terhadap bab-bab tersebut, seperti hadis dha‘if yang menyebutkan makruhnya hukum melakukan sebahagian bentuk jual-beli atau pernikahan, maka disunatkan untuk menghindari daripadanya (yang makruh tersebut) namun ia tidak jatuh kepada hukum wajib."[9]

Jika pada bentuk seperti jual-beli atau pernikahan pun tidak boleh digunakan hadis dha’if, inikan pula dari segi aqidah, maka lebih-lebih lagilah tidak boleh. Sebab itulah bila diteliti semula, mereka sebenarnya amat banyak kesalahan terutama dalam berdisiplin menggunakan hadis-hadis nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.



[1] Hadis adalah cantuman daripada beberapa hadis yang dikeluarkan dalam Al-Hawi lil Fatawa oleh As-Suyuthi pada halaman 71-72, dengan lafaz walau habwan ‘Ala Al-Tsalj fainahu Al-Mahdi pada akhir hadis. Hadis ini juga digunakan oleh pengikut rufaqa seperti yang disusun oleh Mohd Nizamuddin Hj Ashaari dan Laila Ahmad dalam bukunya Abuya Hj Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim, buku ini adalah edisi bukan untuk dijual.

[2] Di antara sebab ditolaknya hadis tersebut adalah kerana hadis tersebut membawa kearah kesyi’ahan. Adapun jika hadis tersebut tidak membawa kesyi’ahannya, maka hadis tersebut adalah boleh diterima pakai.

[3] Ibnu Hajar berkata, “sahih” dalam Fath Al-Bari, (13/328). Ibn Hajar berkata, “Adapun mengenai tempat darimana ia keluar? Maka secara pasti ia akan keluar dari kawasan timur”. (Fath Al-Bari 13/91), dinukil dari Tanda-tanda Besar Peristiwa Menjelang Kiamat oleh Yusuf bin Abdullah bin Yusuf Al-Wabil MA, halaman 78.

[4] Dinukil daripada Risalah Ilmiah Albani, Pustaka Azzam (2002), diterjemahkan oleh Abu Musyrifah dan Ummu Afifah.

[5] Aqidah Syi'ah ini sesat lagi batil. Mereka mendakwa Al-Quran Ahli Sunnah telah dirubah malah mereka mendakwa Al-Quran Mushaf Fatimah itu tiga kali lebih banyak daripada Al-Quran yang ada pada hari ini dan tidak ada satu huruf pun yang sama dengan Al-Quran yang ada pada hari ini. Aqidah mereka ini terdapat dalam kitab mereka "Al-Kafiy fi al-Usul" ditulis oleh ulama hadis Syi'ah Al-Kulaini, dianggap setaraf dengan Bukhari dan Muslim dikalangan pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara kesamaan Al-Arqam dengan Syi'ah adalah mereka mendakwa Imam Mahdi telah dilahirkan dan dighaibkan oleh Allah untuk sementara waktu dan akan kembali dizahirkan semula pada akhir zaman.

[6] Rujuk Abuya Hj Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim, bab Tugas dan Tanggungjawab Putera Bani Tamim, halaman 39.

[7] Ibid.

[8] Ibid.

[9] Al-Azkar oleh Imam Al-Nawawi, Dar Ibn Khuzaimah, Riyadh (2001), halaman 53.

No comments: